Archive

Archive for January, 2012

Parti Mana Lagi Ramai Melayu?

January 25, 2012 Leave a comment

image

Perkembangan terbaru menyaksikan ramai individu – individu Melayu, sehinggakan mereka yang sebelum ini individu berkepentingan di dalam Umno, menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP), pada pandangan saya adalah satu perkembangan sihat. Apatah lagi apabila, Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin, mencabar DAP untuk kemukakan lagi lebih ramai pemimpin Melayu di dalam DAP. Dalam erti kata lain, buktikan bahawa DAP adalah benar – benar parti berbilang kaum.

Asas cabaran YB Khairy ini tidak lebih dari sekadar gimik politik beliau, apa matlamat akhirnya, hanya Allah yang tahu. Namun suka untuk saya mengimbas kembali akan pengisytiharan penting ini, PENGISYTIHARAN SETAPAK, dibuat pada Kongres Kebangsaan DAP pertama di Setapak, Kuala Lumpur pada 29 Julai 1967;

“berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen.”

Dari awal DAP telah berjuang untuk keadilan kaum dan kesaksamaan sosial, namun akibat propaganda perkauman sempit yang dicanangkan oleh pemerintah, akhirnya DAP dilabel sebagai parti perkauman atau lebih tepat cauvinis Cina. Lebih 45 tahun DAP disalah erti, pasca 2008, ada usaha yang sungguh – sungguh untuk DAP keluar dari stigma ini. Bukan hanya lebih ramai pemimpin berbangsa Melayu yang diketengahkan oleh DAP, tetapi penubuhan cawangan DAP di beberapa kampung Melayu dan juga terhasilnya portal rasmi berbahasa Melayu, Roketkini, membuktikan DAP tidak lagi mahu mengambil sikap defensif, tetapi lebih proaktif dalam melawan stigma yang ditempelkan pemerintah kepada perjuangan mereka. Kerajaan negeri Pulau Pinang, yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng, juga telah membuktikan DAP bersama Pakatan Rakyat berjaya untuk melaksanakan pentadbiran yang telus dan cekap serta mampu memberi khidmat kepada semua rakyat tanpa mengira ras dan agama.

Jika kita imbas tempoh sebelum Merdeka 1957, cadangan untuk membentuk badan politik yang berbilang kaum itu sememangnya sudah ada. Bermula dengan gabungan Putera – AMCJA yang tampil dengan Perlembagaan Rakyat; dalam langkah menuju Merdeka pula, Dato Onn `berputus arang` dengan Umno apabila cadangan membuka keahlian Umno pada bukan Melayu ditentang. Umno – MCA – MIC pula terpaksa mewujudkan Perikatan, mengangkat platform politik pelbagai kaum sebagai model membentuk kerajaan untuk Merdeka. Pasca Merdeka, tertubuh Fron Sosialis, tidak lama kemudian Parti Gerakan yang terdiri daripada pelbagai kaum, berkempen atas dasar keadilan sosial dan kesaksamaan semua kaum. Selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, dalam usaha Tun Razak mengembalikan kekuatan kepada parti Perikatan, penubuhan Barisan Nasional dilihat sebagai langkah terbaik dengan model politik pelbagai kaum seperti yang diwarwakan. Tengku Razeleigh juga pernah cuba untuk membentuk satu kesepakatan politik pelbagai kaum di antara PAS dan DAP ketika beliau menerajui Semangat 46, tetapi usaha beliau tidak kuat `stamina`nya. Kemudian lanjutan peristiwa Reformasi 1998, Barisan Alternatif terbentuk tetapi pada ketika itu, istilah politik pelbagai kaum ini kelihatan terlampau asing di kalangan pengundi. Imaginasi rakyat terhadap politik pelbagai kaum in masih jauh jangkaunnya. Namun pasca 2008, senario ini berubah. Paling banyak mencatat peningkatan dalam jumlah undi dan kerusi, Parti Keadilan Rakyat, memberikan gambaran halatuju politik negara menuju ke arah satu model politik yang baru. Slogan seperti “Anak Melayu, anak saya! Anak Cina, anak saya! Anak India, anak saya! Anak Iban, anak saya! Anak Ulu, anak saya! Anak Dusun, anak saya! Semua anak saya!” menjadi laungan yang cukup popular. Tidak kurang juga dengan slogan 1Malaysia yang menjadi `zikir` para pimpinan BN baik di media utama mahupun media sosial.

Melihat kepada perkembangan ini, apa sebenarnya yang dapat kita taakulkan adalah model politik untuk masa depan Malaysia adalah politik pelbagai kaum (multiracial). Parti politik perlu berani keluar daripada kepompong politik sempit yang telah menghantui pemikiran politik Malaysia lebih daripada 60 tahun. Hakikatnya usaha ini bukanlah usaha yang baru. Ianya sudah lama ada di dalam fikiran politik rakyat Malaysia. Inilah dia masa depan Malaysia.

Mungkin yang sewajarnya YB Khairy lakukan adalah mengulang cabaran Dato Onn untuk membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu mahupun bukan bumiputera. Mungkin tiba masanya parti komponen di dalam Barisan Nasional untuk membubarkan parti masing – masing membentuk sebuah lagi parti baru yang lebih majmuk. Tidak mustahil ‘penyatuan’ Barisan Nasional ini akan berlaku apabila mereka tewas dalam pilihanraya depan demi survival mereka sebagai parti politik (baca : pembangkang yang kuat).

Advertisements
Categories: Uncategorized Tags: