Archive

Archive for December, 2011

UiTM – Mengapa harus takut?

December 10, 2011 1 comment

image

Aku mulakan catatan kali ini dengan ungkapan bahawa kalau nak dinilai siapa yang benar – benar punya Universiti Teknologi Mara (UiTM) di hatinya adalah – aku. Apa tidaknya, kedua ibu bapaku adalah pensyarah di UiTM, maka lahir – lahir saja, bil hospital aku telah ditanggung UiTM; susu, lampin, yuran sekolah, duit buku, duit belanja sekolah dan macam – macam lagi semua dananya hasil titik peluh kedua ibu bapaku berkhidmat di UiTM. Sehingga tahun 2004, aku diterima masuk ke UiTM sebagai siswa Perubatan (dengan hanya menggunakan keputusan matrikulasi – bukan ‘cable’). Lima tahun mengabdi diri sebagai siswa UiTM, aku tamat pengajian dan dianugerahkan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari UiTM. Maka, kalau ‘orang Umno’ kata kalau ditoreh lengannya keluar darah Umno, aku ini bolehlah juga dikatakan kalau ditoreh lengan,maka keluarlah ‘darah ungu’ UiTM. Begitulah sebatinya jiwa aku dengan UiTM.

UiTM bermula daripada Dewan Latihan RIDA adalah hasil buah fikiran Dato’ Onn Jaafar selepas lawatan beliau ke Ceylon pada 1951. Kini sudah lebih 60 tahun, dewan latihan telah dinaik taraf sehingga kepada Universiti. Perkara utama yang membedakan UiTM dan universiti – universiti awam lain di Malaysia adalah; akta yang digunapakai – Akta Universiti Teknologi Mara 1976.  Akta UiTM 1976 adalah akta yang membolehkan universiti ini beroperasi hari ke sehari. Menurut akta ini, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 tidak boleh digunapakai ke atas universiti ini seperti yang termaktub pada perenggan 3A dalam Bahagian II : Penubuhan Universiti. Di saat isu autonomi universiti, kebebasan akademik dan kebebasan bersuara menjadi isu perbincangan hangat, nyata pendukung – pendukung Akta UiTM melihat keadaan ini dengan keresahan.

Semalam, 8 Disember, Speaker’s Corner Dataran Cendekia di UiTM Shah Alam menyaksikan satu kebangkitan baru di kalangan mahasiswa apabila sekumpulan aktivis siswa berpidato dengan menyatakan sokongan terhadap cadangan pindaan AUKU oleh YAB Perdana Menteri, malangnya pidato yang sepatutnya menjadi sesi penerangan siswa, terhalang kerana provokasi dua tiga juak – juak pentadbiran universiti dan juga pengawal keselamatan bertaraf polis bantuan. Suasana menjadi tegang, apabila juak – juak ini, dengan kemeja – T Majlis Perwakilan Pelajar, dengan biadap dan penuh intimidasi menganggu perjalanan pidato. Akhirnya pidato dihentikan oleh polis bantuan dan aktivis siswa yang menyatakan sokongan pada pindaan AUKU ‘ditahan’. Seperti kebiasaan, juak provokator dibiar bebas. Semalam saja, jalan – jalan menuju medan pidato dipenuhi dengan sekatan jalan oleh polis bantuan. ‘Special Branch’ siap dengan kamera mereka sibuk merakam satu demi satu muka siswa yang hadir. Pendek kata, UiTM berada dalam keadaan ‘police state’.

Situasi semalam itu amat memalukan. Sebagai sebuah Univerisiti, yang mana telah diiktiraf wujudnya satu Sudut Pidato atau dikenali sebagai Speaker’s Corner, menghalang siswanya dari berbicara dan berpidato adalah satu contoh bentuk sekatan ke atas, bukan hanya kebebasan bersuara, tetapi juga kebebasan akademik. Adakah ini imej Universiti yang menggelar diri mereka sebagai Universiti bertaraf dunia, atau lebih popular ‘Benteng Terakhir Umat Melayu’? Universiti yang mendakwa melahirkan profesional dalam pelbagai bidang, tetapi pentadbiran ala gestapo atau komunis China! Apakah kesalahan mereka ini berbicara? Apa sangat yang ditakutkan oleh pentadbiran universiti?

Semalam juga menyaksikan ‘ketakutan’ pentadbiran Universiti terhadap keberanian siswa – siswa universiti ini mencabar ‘status quo’. Mengapa takut?  Takut kerana mereka ini sebenarnya sudah hilang autonomi bukan hanya terhadap universiti, tetapi juga terhadap diri mereka sendiri. Jika diamati betul – betul, atas arahan siapa mereka bertindak? Untuk apa mereka laksanakan arahan itu? Apakah mereka faham dengan apa yang mereka lakukan? Bukan dengan tujuan untuk merendahkan sesiapa, tetapi apakah yang polis – polis bantuan (majoritinya tidak masuk universiti pun) pada malam itu faham akan tindakan mereka? Atau adakah mereka hanya bertindak mengikut arahan? Dan untuk apa? Apakah siswa – siswa semalam bersalah hanya kerana menerangkan satu isu yang cukup dekat dengan kehidupan mereka sebagai siswa?

Mahasiswa takut pada Dosen,
Dosen takut pada Rektor,
Rektor takut pada Menteri
Menteri takut pada Presiden,
Presiden takut pada Mahasiswa.

Seharusnya keberanian dan kesungguhan siswa ini mendepani isu – isu akademia, universiti dan siswa – diraikan. Keberanian mereka ini untuk menyedarkan komuniti di sekeliling mereka agar lebih peka dan responsif akan apa yang terjadi di sekeliling mereka. Tindakan yang semacam semalam itu sangat memalukan. Kebebasan bersuara, kebebasan akademik itu harus berjalan sejajar. Tidak ada yang harus membataskan ruang diskusi dan perdebatan di universiti. Warga akademik harus sedar, yang hanya membataskan kebebasan akademik, kebebasan bersuara itu hanyalah kebodohan dan kedangkalan hujah mereka sendiri.

Advertisements
Categories: Uncategorized

Dimanakah Angkatan Muda KEADILAN?

December 2, 2011 Leave a comment

image

Teman – teman perwakilan sekalian,

Menyoroti kembali sejarah Reformasi tahun 1998 – tidak dapat tidak, api kebangkitan rakyat bermula pada sela masa yang penting ini. Reformasi pertama kali dilaungkan oleh Anwar Ibrahim di hadapan puluhan ribu rakyat yang berhimpun di  Rumah Anwar di No 8 Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara. Mulanya rakyat tidak faham, ramai tertanya – tanya; apakah itu Reformasi?  

Reformasi 1998 adalah satu terjemahan kepada runtunan jiwa rakyat Malaysia, yang pastinya bukan terbit spontan, tetapi telah berakar di dalam sanubari kita semua – rakyat yang jelek dengan segala bentuk rasuah, kronisme, nepotisme dan keruntuhan insititusi penting negara seperti kehakiman, polis dan pilihanraya di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.  

Namun apakah rangkuman yang paling penting dapat kita berikan pada anak – anak muda hari ini apabila kita bicara soal Reformasi? tesis penting yang lahir dari Reformasi adalah Deklarasi Permatang Pauh yang telah dilafazkan saudara Anwar Ibrahim pada 12 September 1998, seminggu selepas disingkir dari kerajaan. Ada tiga tesis besar dalam deklarasi ini; hak asasi manusia, demokrasi dan kebejatan pemerintahan dalam bentuk amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme. Ini merupakan tema kekal Reformasi sehingga kini.

Namun yang relevan untuk kita persoalkan pada hari ini adalah, Dimanakah Angkatan Muda KEADILAN hari ini? Apakah kita mampu untuk menyatakan bahawa angkatan kita, terutama dari segi organisasinya dan mobilisasi setanding dengan parti – parti sahabat mahupun parti lawan?

Keris sempena Ganja Iras,
   Bisanya empat puluh hari,
Ke mana panglima muda berhias,
   Menegak adil membela diri,  

Sudah tiba masanya kita meninggalkan amalan -amalan politik adu domba, politik caci maki dan tak beradab, yang mana adalah ciri – ciri politik gelap dan politik lama. Sejarah pergerakan kita ini telah menunjukkan, hulubalang -hulubalang awal kita terdahulu, tersungkur dan akhirnya kembali ke lubuk asalnya. Kini menjadi petualang bangsa! kerana pada mereka politik itu kotor dan jijik! Politik itu untuk memuas nafsu serakah. Mereka yang seperti ini hendaklah kita buang jauh – jauh dari Angkatan Muda Keadilan.              

Yang bermulut tentu berbunyi
  Yang bermata tentu memandang
Orang pencarut perlu dijauhi
  Orang pendusta perlu dibuang  

Kongres kali ini adalah titik tolak yang memberi nafas dan semangat baru kepada Angkatan Muda Keadilan yang dilihat layu sekian lama. Pimpinan wajib melihat ke bawah, struktur organisasi di negeri – negeri. Akui kelemahan kita, dan kita wajib berubah. – itu yang penting.  

Kita, anggota Angkatan Muda KEADILAN, perlu sedar, bahawa Pakatan Rakyat kini di ambang kuasa. Mac 2008 telah membuka mata rakyat bahawa Barisan Nasional tidak kebal. Mereka bisa ditewaskan. Jika rakyat mahu, ianya pasti berlaku. Maka kita semua perlukan gagasan baru sebagai satu gerakan anak muda, sebagai lanjutan kepada kesediaan Parti KEADILAN Rakyat dan Pakatan Rakyat – membentuk kerajaan Pusat pada pilihan raya umum yang akan datang. Kita tidak harus dilihat sebagai satu perkumpulan anak muda yang lemah akalnya. Janganlah kita dilihat sebagai anak muda yang tidak tahu adab bicara orang Timur. Laras bahasa kita jangalah dipenuhi dengan cerca keras, lucah dan dangkal. Biarlah permasalahan rakyat menjadi tumpuan perbincangan kita. Biarlah nilai dan tema – tema pemikiran politik, falsafah, agama dan nasihat – nasihat manusia yang terdahulu menjadi topik perbualan dan perdebatan sesama kita      

Pemikiran adalah kekuatan – bahkan gagasan inilah yang akan merubah seluruhnya tamadun kita (tamadun Malaysia) untuk hari muka – inilah beza politik anak muda dengan politik lapuk yang cuma enak di dengar dengan retorik pembelaan tapi akhirnya ibarat pak pandir dan tikus membaiki labu semata – mata.            

Kalau niat berkain pelekat,
  Eloklah pula memakai capal,
Kalau niat memimpin rakyat,
  Duduk bicara memakai akal.

Isu Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI adalah sebahagian dari konflik sosial. PPSMI yang dilaksana dengan tergesa – gesa, tanpa kajian, tanpa percubaan dan melibatkan jumlah yang bukan main – main, ura – ura lebih RM12billion. Berlaku perdebatan hangat di kalangan intelektual, ahli pendidikan, ahli linguistik dan ahli sains. Namun di kalangan pendukung PPSMi, intelektual paling kental tidak lain adalah Mahathir Mohamad. Mahathirisme menjadi sumber pemikiran PPSMI. Proses pelaksanaan PPSMI yang secara ‘bulldoze’ ini, menjadi ‘trademark’ pentadbiran Mahathir, menjadikan PPSMi itu tiada legitimasi. Seharusnya, biarlah rakyat yang menentukan.  

Setuju atau tidak, persoalan PPSMI ini bermula dari kehendak seorang individu, yang akhirnya memenatkan seluruh rakyat negara ini. Yang sepatutnya kita tuntut adalah bukan Bahasa Inggeris sebagai opsyen, tetapi yang lebih kritikal dari itu, adalah kualiti pendidikan anak – anak kita yang perlu perjuangkan. Kualiti yang dapat meningkatkan kemampuan anak – anak kita untuk menjadi manusia yang hebat, menjadi autoriti di dalam cabang – cabang ilmu yang mereka ceburi dan akhirnya mampu berdaya saing dengan masyarakat global. Bahasa itu hanya satu alat atau medium. Sikap dan keberanian kita menggunakan akal, untuk keluar dari apa yang disebut Immanuel Kant sebagai self-imposed immaturity atau ketidakmatangan yang ditempa itu lebih penting dan mengesankan.

Bila bicara soal akademik anak – anak kita, Saudara Shamsul Iskandar menyentuh mengenai isu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974. Sekali lagi jembalang yang menjadi punca pada semua permasalahan ini adalah Mahathir Mohamad. AUKU ini, melawannya tidak mudah, kerana ini mencabar status quo terutama pemerintah dan autoriti universiti – universiti. Lebih 30 tahun, AUKU dilaksana, adakah dunia akademia kita menjadi lebih baik? Apakah ada karya – karya besar mahupun teori – teori baru yang hebat terhasil?  Apakah mahasiswa kita hari ini lebih cerdas dan mampu berdaya saing? Tidakkah Majlis Professor Negara hari ini hanya menjadi bahan lawak dan ejekan di kalangan masyarakat? Pensyarah – pensyarah kita hari hanya sibuk berebut untuk memegang jawatan Naib Canselor, Timbalan itu dan ini, Dekan itu dan ini, tetapi bila ditanya berapa jurnal atau tesis yang dikeluarkan? Gagal! Langsung tiada usaha sungguh – sungguh mereka ini untuk menganjak ketamadunan rakyat Malaysia. Maka AUKU ini wajib dihapuskan sahaja.  

Sejarah negara bangsa ini telah menunjukkan bahawa sedari awal kurun ke 20 hingga 1970-an, negara telah menyaksikan sumbangan segar orang muda dalam menuntut kemerdekaan dan mengisinya. Bermula dari gerakan Islah, pertembungan Kaum Tua – Kaum Muda, gerakan Asas 50 dikalangan sasterawan dan wartawan muda, gerakan politik penentangan penjajahan (baik nasionalis mahupun aliran kiri) dan gerakan kaum guru yang berpusat di Maktab Perguruan Sultan Idris, sehingga lahirnya gerakan siswa 1974 di Universiti Malaya dan 1975 di Institut Teknologi Mara. Gerakan anak muda adalah satu gerakan yang mandiri (independan), bukan tukang angguk membuta – tuli. Tercetus Demonstrasi Baling adalah kerna keprihatinan golongan siswa dan anak muda terhadap kesengsaraan yang dihadapi golongan petani di utara tanah air. Malangnya, sejak lebih 30 tahun lepas, nyalaan semangat gerakan anak muda ini seolah – olah malap. Di manakah anak muda hari ini?  

Fathi Aris Omar, di dalam buku beliau ; “Patah Balek : Catatan Terpenting Reformasi” menyenaraikan lima sebab utama generasi anak muda di Malaysia ‘mati’. Pertamanya, tiada pemikiran mendalam hasil pembacaan, kajian, interaksi dan renungan. Kedua, hilang keberanian untuk mempertikai apa yang terjadi di sekeliling. Ketiga, hilang sense of originality. Keempat, cepat hilang stamina dalam harungi kepayahan hidup, khususnya kerja sukarela. Kelima, tidak setia kepada generasi muda tetapi suka bergantung pada generasi tua yang akhirnya menjadikan mereka suka bergantung dan dipandu arah.  

Maka dalam kita melawan AUKU, pertama – tama, warga universiti, siswa, pensyarah, alumni, perlu ke depan dan menyatakan keengganan mereka untuk patuh pada AUKU. Warga universiti harus berani melawan akta ini. Rakyat perlu tahu bahawa AUKU ini merosakkan masa depan negara kita. Rakyat harus ingat, di bawah Umno dan Barisan Nasional, akta ini akan terus kekal! Dengan Umno tiada lagi harapan untuk kita. Solusinya hanya satu, saya seru seluruh warga universiti, bersama – sama dengan rakyat Malaysia, wajib menolak Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang. Malaysia tanpa UMNO, adalah Malaysia tanpa AUKU.  

Sejarah dunia membuktikan bahawa kesedaran atau pencerahan adalah tiang seri kepada reformasi atau perubahan. Tanpa kesedaran dan pencerahan; takkan berlaku perubahan dan kalau pun berlaku, ia adalah perubahan yang cacat yang berkesudahan dengan malapetaka baru. Perubahan moden bukan lagi “revolusi di atas kelaparan rakyat” tetapi “perubahan atas kesedaran rakyat” – – dan atas sebab itu anak muda khususnya AMK perlu gerakkan perubahan dengan kesedaran.  

Kita mesti dilihat sebagai satu gerakan yang berhemah baik dari politiknya hinggalah kepada mesej yang kita bawa. Biar rakyat kenal bahawa di hati setiap anggota Angkatan Muda KEADILAN, rakyat adalah yang nombor satu. Demi rakyat Angkatan Muda KEADILAN akan meneruskan agenda Reformasi, sehingga satu negara Malaysia yang lebih baik tercipta.  

Kita semua, wajib untuk punya keyakinan bagi melihat satu negara Malaysia yang lebih baik. Keyakinan bahawa negara yang akan kita warisi dan wariskan ini, adalah bumi bertuah yang mampu membekalkan kehidupan yang lebih baik untuk generasi kita dan generasi akan datang. Ayuh, kawan – kawan semua, masa semakin suntuk untuk kita, patahkan duri – duri tajam antara kita, benamkan sengketa di antara kita, runtuhkan tembok – tembok tinggi yang menghalang perspektif kita, bersatulah kawan – kawan, sebagai satu persaudaraan yang kukuh,  

Memetik kata – kata akhir di dalam Deklarasi Permatang Pauh,  

Masanya telah tiba, Bersatulah untuk Reformasi, Demi Rakyat.  

Reformasi, Reformasi, Reformasi

Teks ini telah disediakan sebagai sebahagian dari teks perbahasan saya dalam membahaskan Ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda KEADILAN, ‘Dibawah Riayah Keadilan’ pada Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN 2011 kali ke 8, pada 25 November di Pulai Spring Resort, Johor

Categories: Uncategorized