Archive

Archive for February, 2011

Mubarak Undur, Mesir bergembira!

February 13, 2011 Leave a comment

11 Februari 2011 menyaksikan sekali lagi sejarah dicipta. Jika 30 tahun lepas, Revolusi Iran berlangsung sehingga menyingkirkan Shah Iran, dan pada tahun 1990 Nelson Mandela yang ditahan tanpa bicara puluhan tahun lamanya dibebaskan pada tarikh keramat ini, kini Mesir di dalam tahun 2011 pula mencipta sejarah apabila kuasa rakyat menumpaskan tirani Hosni Mubarak selepas lebih 18 hari rakyat melakukan unjuk rasa secara aman di seluruh Mesir.

Bermula sejak 25 Januari lepas, negara tempat bersemadinya Firaun ini menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat. Regim Hosni Mubarak yang berkuasa selama lebih 29 tahun akhirnya tersungkur apabila rakyat bangkit menentang kezaliman dan salahguna kuasa.

Mesir sejak tiga dekad lalu menyaksikan demokrasi terpimpin yang diamalkan oleh Hosni Mubarak, bertanggungjawab untuk menyekat hak asasi warga yang merdeka. Seperti kebanyakkan negara pasca kolonisasi, kerajaan yang menggantikan penjajah menunjukkan kecenderungan untuk memberi tafsir tersendiri terhadap amalan demokrasi dan menjadi semacam budaya untuk menganggap semua yang dari Barat itu adalah buruk dan satu lagi agenda baru neo-imperialiasme. Atas retorik ini, banyak hak-hak asasi individu yang merdeka dinafikan.

Mesir dibawah Hosni Mubarak telah menyekat kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan. Parti politik pembangkang ditekan, gerakan seperti Ikhwan Muslimin ditekan, ramai aktivis dan pemimpin yang tidak sehaluan dengan Hosni Mubarak akan ditahan tanpa bicara. Media dikawal dan aparatus kerajaan disalahguna untuk kepentingan regim. Penipuan pilihanraya melibatkan penyelewengan daftar pengundi, amalan politik wang yang berleluasa dan ugutan serta ancaman menjadi modal kempen ketika pilihanraya. Pembolotan harta negara oleh pemerintah dan keluarga juga berleluasa sehinggakan ada pendedahan bahawa Hosni Mubarak dan keluarga beliau memiliki aset lebih daripada $70 billion. Harus diingat bahawa saat revolusi rakyat ini berlangsung, keadaan ekonomi Mesir adalah cukup memberangsangkan tetapi rakyat tidak merasa manfaatnya dek kerana pengagihan aset negara yang tidak sampai kepada rakyat tetapi berpusat kepada elit pemerintah.

Atas semua kebejatan ini, rakyat Mesir memilih untuk bangun dan ‘melawan’ demi menyelamatkan negara mereka. Protes jalanan yang aman berlangsung lebih 18 hari sebelum Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman, mengumumkan perletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai Presiden dan meletakkan Mesir dibawah pemerintahan militari. Dataran Tahrir menjadi saksi sekali lagi kepada kebangkitan rakyat Mesir mempertahankan kemerdekaan mereka. Koptik, Muslim, muda dan tua, lelaki dan wanita bersama-sama dalam protes besar-besaran ini. Satu lagi bukti kekuatan Ketuanan Rakyat. Benar seperti firman Yang Esa, bahwa nasib sesuatu bangsa itu hanya dapat ditentukan oleh bangsa itu sendiri.

Saya mendoakan agar pihak militari tidak akan melengah-lengahkan waktu untuk memulangkan semula kuasa dan pilihan kepada proses demokrasi. Proses dimana Ketuanan Rakyat adalah asasnya. Moga rakyat Mesir akan dapat benar-benar kecapi Kebebasan yang telah mereka cari selama ini dan membina tamadun yang lebih gemilang satu masa nanti.

Advertisements
Categories: Uncategorized