Archive

Archive for October, 2010

GENERASI REFORMASI – Siapa yang harus jadi Ketua AMK; Rafizi Ramli, Hasmi Hashim atau Chegubard?

October 11, 2010 Leave a comment

Reformasi 1998, baik di Malaysia, mahupun setahun sebelumnya di Indonesia, telah digerakkan oleh satu golongan atau generasi yang kita panggil anak muda, belia mahupun pemuda bangsa. Di Malaysia, anak muda, tanpa kira latar pendidikan, bangsa, agama mahupun pekerjaan, telah bersama menyahut panggilan dan seruan untuk menjulang perjuangan Reformasi yang telah dimangkinkan oleh peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berduyun-duyun anak muda turun ke jalanan berdemonstrasi dan menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Hakikatnya atas prinsip asas yang sama – menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

Di tika itu lahir orator-orator hebat di kalangan anak muda. Yang paling diagungkan dan menjadi idola anak muda Reformasi ketika itu adalah – YB Senator Ezam Mohd Nor. Dengan pidato yang keras, dan jitu, dikendong dengan enam kotak (yang konon berisi fail – fail sulit Menteri yang melakukan penyelewengan) ke hulu ke hilir, siapa tidak kenal Ezam dan teman – teman seperti Lokman Nor Adam, Zahid Mat Arip dan ramai lagi. Gelanggang ceramah sentiasa penuh apabila anak-anak muda ini berucap, tidak kira dimana atau apa jua keadaan cuaca. Pita video ceramah dan yang paling popular ketika itu adalah kaset-kaset ceramah menjadi begitu laris. Pemimpin-pemimpin muda ini akhirnya menjadi pemimpin di dalam Pemuda Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan pasca Reformasi 1998. Ezam sebagai Ketua Pemuda, telah menggerakkan anak muda dengan retorika menentang rasuah, kezaliman dan penyelewengan Umno dan Barisan Nasional.

Siapa tidak ingat akan Jelajah Sumpah Keramat yang dilakukan Ezam dan rakan-rakan. Kotak dikendong, laungan dipekik, sumpah dilafaz. Begitulah gerakan anak muda Reformasi 1998. Matlamatnya adalah untuk mendedahkan kepincangan dan kezaliman Umno – Barisan Nasional. Saya harus memberi kredit kepada pimpinan awal Pemuda Keadilan ini bahawa mereka telah berjaya. Rakyat semua sedar dan faham bahawa rasuah dan penyelewangan menjadi permainan biasa Umno-Barisan Nasional. Namun zaman dan era itu telah berakhir. Ezam juga sudah kembali ke pangkuan Umno dan kini bergelar Senator. Lokman Nor Adam juga telah dipilih semula sebagai Exco Pemuda Umno. Ramai lagi yang telah kembali ke Umno. Mereka ini yang satu masa dulu bersumpah keramat, berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini menjadi ‘tentera-tentera upahan’ terkehadapan dalam menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti KeADILan Rakyat.

Tersungkur akhirnya anak – anak muda hebat ini dalam perjuangan mereka menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Kerana sudahnya dapat kita lihat bahawa inti perjuangan mereka ini tidaklah pernah kepada nilai atau erti perjuangan itu tetapi lebih atas kepentingan peribadi dan cita – cita politik mereka. Struktur Parti dan Pemuda Keadilan hancur musnah diperlaku mereka ini kerana akhirnya yang mereka ingin bawa adalah diri mereka sendiri, tidak pernah agenda besar Reformasi itu. Apa yang mereka promosikan adalah ketaksuban personaliti – men’dewa’kan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjulang nama seperti Ezam, tetapi tidak pernah sungguh usaha mengenengahkan idea dan intipati Reformasi itu. Akhirnya apabila merasakan diri mereka tidak lagi mampu menahan asakan dan pelawaan yang tiba, perjuangan sebenar Reformasi ditinggalkan.

Kini sudah 12 tahun berlalu, perjuangan Reformasi bangsa Malaysia masih lagi mekar dan mula menunjukkan hasilnya. Keputusan Pilihan Raya Mac 2008 membuktikan segala-galanya. Betapa Reformasi bangsa ini tidak pernah padam. Penghargaan harus diberikan kepada anak muda yang berada di Saluran 3 ketika Pilihan Raya lepas yang telah menggunakan kuasa mengundi mereka dengan memberikan kepercayaan kepada gabungan parti alternatif – PKR, DAP dan PAS – untuk membentuk kerajaan negeri di Selangor, Perak, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang serta menafikan majoriti dua pertiga Umno-Barisan Nasional di Parlimen. Sekali lagi sejarah menyaksikan peranan yang dimainkan oleh anak muda. Fakta, kebanyakkan mereka ini yang berada di Saluran 3 adalah anak – anak yang masih lagi di bangku sekolah atau baru ingin memasuki menara gading tatkala Reformasi 1998 meletus. Mereka inilah Generasi Reformasi. Mereka ini yang 12 tahun lepas tidak punya kuasa mengundi dan masih tidak ‘bebas’ menyatakan pendirian politik mereka ketika itu.

Pemuda Keadilan pimpinan Ezam dulu juga sudah mengalami perubahan besar dari segi rupa dan pimpinan. Dengan Saudara Shamsul Iskandar Muhammad Akin selaku ketua, Pemuda Keadilan kini dikenali sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK). Saudara Shamsul juga dengan jayanya telah berjaya, merapatkan pimpinan muda Keadilan yang ditinggalkan lompong oleh Ezam dan rakan – rakan dan juga memimpin Angkatan Muda mengharungi Pilihan Raya Umum ke 12 yang penuh bersejarah. Usaha dan dedikasi Saudara Shamsul amat disanjung. Namun seperti kata orang, memenangi sesuatu itu sukar, tetapi mengurus kemenangan itu adalah jauh lebih sukar. Saya berani katakan bahawa, kelibat beberapa pimpinan muda Keadilan pasca Mac 2008, yang mula hidung tinggi dan berebut mencari kontrak sana – sini amatlah mengecewakan. Idealisma perjuangan terus ditinggalkan. Selain itu kegagalan PKR menjuarai perlumbaan mendaftarkan pengundi baru juga amat meresahkan. Kita juga tidak dapat mendaftarkan lebih ramai ahli baru parti yang berkualiti sepanjang dua tahun pasca Mac 2008. Peluang yang terbentang gagal dimanfaatkan. Kegagalan ini bukan kegagalan Saudara Shamsul seorang, tetapi kegagalan kita bersama yang berada di dalam AMK kerana gagal merebut kesempatan ini. Kelemahan struktur kepimpinan dan kekalutan organisasi menjadi punca kegagalan ini. Menilai kepada sumbangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Saudara Shamsul, sudah tiba masanya teraju kepimpinan AMK diambil alih oleh pemimpin baru, dengan tujuan memberi nafas baru kepada hala tuju perjuangan AMK, bukan dengan niat untuk menyingkirkan. Kekuatan dan kualiti yang dimiliki oleh Saudara Shamsul dari pengamatan saya amat diperlukan di dalam pimpinan tertinggi parti (baca : Naib Presiden) dengan berfungsi sebagai jambatan yang bakal menghubungkan pimpinan parti dengan AMK.

Bergerak dari situ, Pemilihan PKR 2010 ini adalah gelanggang terbaik untuk kita merangka satu peralihan kepimpinan di dalam AMK. Sehingga ke hari ini, sudah ada tiga calon utama menawarkan diri untuk bertanding; Saudara Badrul Hisham (lebih dikenali sebagai Chegubard), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR; Saudara Rafizi Ramli, Pengarah Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan akhir sekali Saudara Hasmi Hashim, Ketua Cabang PKR Parit Sulong yang juga merupakan seorang budayawan dan penulis berbakat yang popular di kalangan graduan Sekolah Politik Institut Kajian Dasar dan juga Komunite Jalan Telawi. Pemilihan cabang yang berlangsung sepanjang bulan September sehingga ke hari ini menyaksikan ketiga – tiga calon ini telah mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding sebagai Ketua AMK. Rafizi dengan barisan beliau yang terdiri daripada YB – YB muda dari PKR, YB Amirrudin Sari (ADUN Batu Caves), YB Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak) dan YB Kesavan, mengelar diri mereka sebagai Generasi Reformasi, telah heboh diwar-warkan sebagai barisan yang mendapat ‘restu’ Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Manakala Chegubard pula merasakan pemilihan kali ini merupakan saat dimana beliau harus di’tabal’kan sebagai Ketua AMK kerana pada pemilihan tiga tahun lepas, dikhabarkan Chegubard telah ‘memberi laluan’ kepada Shamsul Iskandar untuk bertanding dan menewaskan Hasmi Hashim. Manakala Hasmi pula melihat ini saat terbaik untuk beliau menawarkan kepimpinan beliau untuk dimanfaatkan setelah tewas kepada Shamsul pada pemilihan lepas. Namun saya percaya, jauh di sudut hati setiap calon ini, mereka menawarkan diri untuk bertanding hanyalah kerana mereka rasa terpanggil untuk menerajui kepimpinan AMK demi melakukan satu islah yang sungguh – sungguh bukan hanya di dalam AMK, tetapi mampu untuk diterjemah ke peringkat yang lebih tinggi yakni rakyat.

Plato, filasuf besar Yunani, pernah mengambarkan ciri-ciri kualiti pemimpin yang perlu dimiliki demi menjamin kelangsungan dan keberkesanan perlaksanaan demokrasi yang matlamat akhirnya adalah kesejahteraan dan keadilan. Plato menukilkan di dalam Republic pada buku VI, dengan metafora, bahawa, “… seorang nakhoda sejati mestilah fasih dan faham akan perubahan musim, keadaan di syurga, pergerakan bintang – bintang, laluan angin dan segala ilmu yang perlu jika ingin benar – benar mengemudi sebuah bahtera” (Republic, 6.488d). Plato mengangkat nilai seorang pemimpin itu hendaklah seorang ahli falsafah, yang didefinasikan oleh Plato sebagai pencinta ilmu dan jika pemimpin itu masih lagi bukan seorang yang faham akan falsafah, maka perlulah dididik pemimpin itu dengan falsafah. Plato percaya hanya pemimpin yang berilmu, cerah, faham akan falsafah dan baik kepada mereka yang dipimpin, barulah kesejahteraan dan keadilan sosial dapat dicapai.

Mengambil pendekatan yang diberikan oleh Plato ini, jelas gagasan Plato adalah selari dengan ciri – ciri pemimpin yang dituntut Islam seperti yang diterangkan dalam firman Allah s.w.t;

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil”

-Surah An-Nisa’, ayat 58-

Sedari itu, memilih pemimpin bukanlah satu tugas mudah. Hendaklah benar – benar ditimbang akan kualiti kepimpinan dan ilmu yang dimilikinya. Pemimpin itu hendaklah tinggi akal dan pekertinya, sanggup berkorban demi mereka yang dipimpin, kata – katanya bernas dan tindakannya mendatangkan sejahtera kepada orang bawahan.
Bergerak di atas keterangan ini, dalam situasi politik semasa, AMK perlu sedar bahawa kita berada di dalam fasa berbeza. Pendekatan kita harus berbeza daripada corak pendekatan kita 12 tahun lepas. Tanpa meninggalkan stail pergerakan ini yang terkehadapan dalam isu-isu menentang kebobrokan dan kezaliman Umno – Barisan Nasional, sudah tiba masanya untuk kita menjadikan AMK sebagai wadah yang benar-benar ampuh untuk membela nasib rakyat – bukan hanya menjadi sebuah organisasi kebajikan semata-mata – AMK perlu bertindak sebagai satu gerakan yang sekarang ini mampu untuk mengeluarkan cadangan dan idea untuk sama – sama membantu Pakatan Rakyat mentadbir negeri-negeri yang diperintah. Perlu ada keyakinan di kalangan pimpinan AMK untuk bersama – sama dengan sayap Pemuda PAS dan DAP untuk menghasilkan satu manifesto atau testamen dalam bentuk cadangan polisi, idea dan juga tuntutan mendepani isu-isu belia dan anak muda Malaysia. AMK sendiri perlu mewujudkan kumpulan pemikir yang mampu untuk melaksanakan amanah ini.

Dengan lebih 4.6 juta pengundi muda di seluruh negara, tidak cukup kita hanya menunjuk gagah di hadapan penguasa, berbangga dengan sejarah kita bermalam di lokap atau berapa kali kita turun berdemonstrasi, ini semua adalah politik Reformasi 12 tahun lepas. Kini, pengundi – pengundi muda sudah sedar dan faham akan kezaliman Umno-Barisan Nasional, apa yang mereka ingin tahu sekarang adalah apakah alternatif yang mereka ada selain Umno-Barisan Nasional? Dimanakah Pakatan Rakyat lebih baik daripada Umno-Barisan Nasional? Parti mana yang benar-benar dapat mewakili aspirasi anak muda Malaysia? Adakah parti itu mampu memperjuangkan isu – isu yang bersangkutan dengan anak muda? Ini adalah persoalan – persoalan yang harus dijawab dan cabaran – cabaran yang harus digalas oleh Ketua AMK yang bakal kita pilih dalam Pemilihan PKR 2010.

Sejarah telah menunjukkan, setiap kali pemimpin dipilih atas sebab individu, atas dasar personaliti atau retorik mahupun populariti semata – mata, kepimpinan dan perjuangan itu bakal berhadapan dengan masalah besar. Ketaksuban terhadap individu tidak harus menjadi asas memilih pemimpin. Memang wujud kecenderungan ahli politik untuk mencipta personality cult terhadap dirinya, membina sekelompok golongan yang taat setia tanpa usul periksa kepada dirinya dan menukarkan ini sebagai satu “pameran kekuatan”. Namun acap kali, budaya politik ini membawa kepada kegilaan melampau yang akhirnya menuju ke lembah pengkhianatan. Asas kesetiaan yang tidak berpaksi pada sesuatu gagasan mahupun idealisma akhirnya membunuh apa yang kononnya dipanggil perjuangan. Bukti jelas adalah YB Ezam yang kini ‘termakan sumpah’, kerana idealisma perjuangannya bukanlah pada gagasan demokrasi dan keadilan untuk semua yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi lebih kepada ketaksubannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang berkarisma dan hebat berpidato semata – mata.

Saya mengharapkan, dengan kematangan yang ditunjukkan oleh ahli PKR dalam menjayakan demokrasi terus dalam Pemilihan PKR 2010, asas untuk memilih Ketua AMK yang seterusnya hendaklah diletakkan pada penilaian terhadap gagasan politik yang dibawa oleh setiap calon bertanding. Hendaklah pemimpin yang bakal dipilih ini mampu mengenal pasti masalah anak muda dan mampu untuk dibawa bermusyarawah. Janganlah kerana calon itu pernah ditahan polis, selalu melakukan laporan polis dan SPRM ataupun popular kerana selalu berada di pentas – pentas ceramah, lalu terus kita memberikan undi sebagai ahli AMK. Kita harus rasional. Bagaimanakah ‘rupa’ Ketua AMK yang ingin kita tawarkan kepada rakyat untuk kita menghadapi PRU 13 nanti? Cukupkah sekadar menghantar calon yang hanya petah berkata – kata tetapi langsung tidak punya sebaramg gagasan yang bernas dan praktikal untuk rakyat? Tidakkah kita inginkan seorang Ketua AMK yang bila tiba ketikanya, (baca : membentuk kerajaan Persekutuan) adalah calon terbaik dari kalangan anak muda PKR sebagai calon Menteri di dalam cabinet Pakatan Rakyat? Seorang pemimpin yang bukan hanya bisa menjadi pemimpin kepada AMK sahaja, tetapi mampu diketengahkan sebagai pemimpin rakyat yang bakal menerajui kepimpinan PKR dan Malaysia kelak. Ini adalah calon Ketua AMK yang wajib kita pilih dalam Pemilihan PKR 2010.

Akhir kata, sudah tiba masanya kita menghentikan penilaian memilih pemimpin atas dasar ketaksuban individu semata – mata. Sejarah telah mendidik kita akan akibatnya. Sudah tiba masa dalam kita memilih ketua AMK, gagasan dan prinsip perjuangan yang menjadi kayu pengukur untuk kita memberikan undi yang sangat berharga itu. Bakal Ketua AMK yang bakal dipilih nanti, demi menghasilkan satu barisan kepimpinan yang jitu dalam kita menuju ke Putraya, Ketua AMK itu haruslah seorang yang – besar jiwanya, intelektual, teruji kesetiaannya dan mampu mengangkat gagasan besar demokrasi dan keadilan ke satu tahap yang memberangsangkan.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Advertisements
Categories: Uncategorized