Archive

Archive for September 4, 2010

Bangsa, Kaum dan ……

September 4, 2010 Leave a comment

Hari ini bicara soal perbezaan bangsa dan agama menjadi begitu ketara dan berada dalam ruang yang tidak sihat. Prasangka dan curiga menjadi pembuka bicara tiap kali kita berhubung antara satu sama lain. Lebih mengecewakan apabila kita sehabis mungkin meletakkan asas perbedaan bangsa dan agama dalam semua bentuk urusan kehidupan kita.

Di saat Malaysia yang baru saja segar meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-53, begitu banyak perkara yang menganggu gugat soal keharmonian kaum dan bangsa di Malaysia; vandalisma di rumah ibadat, polemik bukan Islam berada di dalam Masjid, isu mendoakan pemimpin bukan Islam ketika solat Jumaat, Pengetua sekolah memanggil bangsa lain pendatang dan banyak lagi insiden yang saya lihat sengaja disensasikan demi menganggu keharmonian yang ada. Lebih mengecewakan apabila usaha terkutuk ini dipelopori oleh pemerintah sendiri.

Akhbar rasis seperti Utusan Malaysia yang setiap hari menabur api kebencian orang Melayu terhadap bangsa lain, setia menjadi lidah rasmi kepada golongan rasis yang tidak langsung kenal erti rasional. Ditambah pula dengan gelagat Perkasa dengan ketua mereka Ibrahim Ali yang asas hujah mereka adalah prasangka buruk dan ketaksuban melampau. Dan ia tidak hanya berlaku di kalangan bangsa Melayu. Sikap dan golongan seperti ini wujud dalam bangsa Cina, India dan hampir setiap bangsa di dunia.

Melihat kepada umur negara ini yang telah merdeka untuk 53 tahun, kegagalan setiap bangsa yang ada untuk bersama-sama merasakan diri mereka sebagai warganegara yang merdeka amatlah meresahkan. Kelihatannya masih ramai tidak mengenal makna diri sebagai bangsa yang merdeka. Terperangkap dalam polemik persoalan bangsa dan agama menjadikan kita masih lagi hidup dalam ketakutan dan keresahan. Senantiasa mencurigai dan dicurigai.

Saya bertugas di kalangan masyarkat. Dan dalam perkhidmatan saya, saya juga berurusan dengan kanak-kanak. Saya kagum, melihat betapa mereka ini ‘buta’, ‘pekak’ dan ‘tuli’ terhadap apa yang kita panggil perbezaan warna kulit, ras dan keturunan. Saya sering bertanya pada diri sendiri dan juga rakan-rakan, sejak bila perbedaan ini semua menjadi begitu penting dalam pertimbangan kita sehari-hari? Demi memahami ini saya cadangkan agar teman-teman menonton filem The Boy In The Striped Pyjamas arahan Mark Herman yang diadaptasi daripada novel karangan John Boyne. Filem ini telah menggambarkan betapa suci dan naifnya jiwa seorang kanak-kanak.

Saya melihat dalam kita mencuba untuk mengatasi sikap prejudis kita terhadap bangsa lain, sebagai individu haruslah kita melonjakkan diri kita keluar daripada belenggu tanggapan bahawa bangsa aku dan agama aku jauh lebih baik mahupun lebih tinggi martabat apatah lagi lebih berhaki berbanding bangsa mahupun agama lain. Apa jua bangsa atau anutan kita, kita semua tetap organisma bernama homo sapiens. Selain itu menjadi tanggungjawab kita untuk melengkapkan diri kita dengan ilmu sejarah yang sebenar mengenai pembentukan jiwa bangsa ini. Atas sedar ini, barulah kita mampu untuk menyisih sikap sangsi dan curiga kita kepada bangsa lain.

Sedari itu, sebagai individu haruslah kita memastikan pula bahawa keluarga kita tidak terjerut dalam lembah perkauman sempit. Hendaklah anak-anak diajar dengan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi, menghormati hak individu lain, dan kedaulatan undang-undang. Tiada guna mengajar anak-anak akan perasaan curiga dan mendidik sejarah yang tidak benar kepada mereka. Sebagai keluarga, sebaga unit asas sesebuah masyarakat, baik institusi keluarga maka baiklah institusi masyarakat. Rosak institusi keluarga maka rosaklah institusi masyarakat. Begitulah pentingnya institusi keluarga, bak kata orang; semuanya bermula di rumah.

Maka tahap yang terakhir adalah usaha kerajaan dan pihak autoriti dalam masyarakat. Kerajaan yang ada hendaklah menghormati perlembagaan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Janganlah kerajaan pula bersikap pilih kasih setiap kali berdepan dengan isu sensitiviti bangsa. Kerajaan hendaklah bersikap adil. Kerajaan yang gagal walau setelah 53 tahun memerintah seharusnya sedar diri untuk mengundurkan diri kerana akhirnya yang akan sejahtera adalah rakyat seluruhnya.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Advertisements
Categories: Uncategorized