Realiti Politik Melayu Pulau Pinang

May 29, 2012 1 comment

image

Polemik terbesar di Pulau Pinang pastinya persoalan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu di negeri ini. Sering kali kita mendengar atau membaca tajuk – tajuk berita seperti “Melayu Pulau Pinang Terpinggir”, “Melayu Tiada Suara Di Pulau Pinang” dan banyak lagi ungkapan – ungkapan yang cuba mengambarkan bahawa kewujudan orang Melayu di Pulau Pinang benar – benar terancam. Amat malang sekali, mutakhir ini, (sejak Mac 2008) keadaan Melayu di negeri ini digambarkan seolah – olah lebih parah terutamanya oleh media kawalan pembangkang di negeri ini iaitu, Umno dan Barisan Nasional.  

Mengikut statistik Jabatan Perangakaan Malaysia, untuk tahun 2010, jumlah penduduk Pulau Pinang adalah 1, 609, 000 orang dan mengikut pecahan etnik, orang Melayu sudah mengatasi jumlah orang Cina di negeri ini; 676, 900 (42.06%) orang Melayu dan 658, 700 (40.93%) orang Cina dan selebihnya 155, 600 orang India dan 118, 700 etnik lain – lain. Maka, label bahawa Pulau Pinang adalah negeri majoriti Cina tidak lagi sesuai untuk digunapakai. Hakikatnya jumlah orang Melayu dan Cina hampir seimbang tetapi secara geografinya terpisah di pulau dan tanah besar, Seberang Perai.  
Mac 2008 menyaksikan antara tsunami politik terbesar berlaku di Pulau Pinang. Jika pada Pilihan Raya Umum 2004, Barisan Nasional dengan selesa memenangi 38 kerusi DUN, tsunami politik 2008 menyaksikan Pakatan Rakyat, terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenangi 19 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sembilan kerusi dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) satu kerusi manakala Barisan Nasional melalui UMNO sekadar memenangi 11 kerusi. Keputusan ini bukanlah kali pertama rakyat Pulau Pinang memilih untuk menukar kerajaan kerana sejarah menunjukkan rakyat negeri ini pernah menolak Perikatan pad Pilihan Raya Umum 1969 dengan memilih Parti Gerakan.  

Saat Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, serangan retorik terkikisnya kuasa politik Melayu di negeri ini bermula. Stigma bahawa DAP sebuah parti cauvinis Cina diapi – apikan di kalangan orang Melayu. Secara tiba – tiba rakyat disajikan dengan berbagai laporan kemiskinan orang Melayu, isu pemilikan tanah oleh orang Melayu yang kurang di Pulau Pinang dan pelbagai lagi bentuk serangan yang berasaskan politik perkauman sempit.  

Walhal, kita semua sedia maklum, UMNO pernah menerajui kerajaan negeri bukan hanya selepas merdeka bahkan selepas 1969 pun, UMNO berada di tampuk kuasa. Maka dimanakah perwira dan pejuang bangsa Melayu yang merupakan pimpinan UMNO ini berada ketika orang Melayu Pulau Pinang memerlukan pembelaan dan idea – idea baru dalam memajukan orang Melayu baik dari segi politik mahupun sosioekonomi? Mengapa pengkhianatan yang dibalas atas kepercayaan setiap rakyat kepada mereka dahulu?  

Amat malang apabila masalah ekonomi dan kuasa pemilikan hartanah orang Melayu di negeri ini dipolitikkan seolah – olah ianya bermula hanya selepas Pakatan Rakyat memerintah. Sedangkan masalah ini diwarisi daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno dan Barisan Nasional. Hakikatnya kerakusan Umno selama lebih 40 tahun memerintah Pulau Pinang menyebabkan banyak tanah milik orang Melayu (terutamanya di Tanjung) tergadai lantas kuasa ekonomi orang Melayu menguncup. Umno bukan saja gagal meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu, tetapi telah memilih untuk membenarkan mereka yang korup kekal berkuasa kononnya di atas agenda ketuanan Melayu.    

Namun, sejak 2008, Pakatan Rakyat pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, telah melakukan beberapa reformasi penting di negeri ini. Antaranya menghapuskan kemiskinan tegar, meningkatkan perbelanjaan hal ehwal agama Islam, memberi bantuan lebih banyak kepada rumah ibadat, khairiat kematian yang lebih tinggi, hadiah untuk anak yang baru lahir, bantuan RM100 untuk warga emas dan lebih 70 peratus kontraktor Melayu memenangi projek kerajaan negeri hasil sistem tender terbuka.  

Hakikat yang tidak dapat kita lari, nasib orang Melayu dan rakyat seluruhnya lebih terjamin semenjak Pakatan Rakyat memerintah. Program – program ekonomi yang disusun, kecekapan dan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini bukan lagi rahsia atau retorik kosong semata – mata. Laporan Audit Negara dan laporan pelabur asing menunjukkan negeri ini bebas dari amalan korup dan salahguna kuasa sejak Pakatan Rakyat memerintah.  

Menjelang Pilihan Raya Umum 13 yang semakin hampir, parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Gerakan, masih lagi gagal untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu di negeri ini. Krisis kepimpinan yang dihadapi komponen Barisan Nasional nyata bakal merencatkan lagi usaha mereka untuk menawan kembali negeri ini. Usaha transformasi Datuk Seri Najib Razak yang indah khabar dari rupa juga disambut dingin oleh majoriti rakyat negeri ini. Umno tidak mampu untuk membentuk kerajaan tanpa kemenangan parti komponen, MCA dan Gerakan, tanpa sokongan dari etnik lain selain Melayu di negeri ini. Kenyataan Dato’ Zainal Abidin (pengerusi perhubungan Umno negeri) bahawa mereka bersedia menjadi pembangkang untuk satu lagi penggal membuktikan bahawa Pakatan Rakyat bakal mengekalkan kuasa pada pilihan raya depan.  

Maka, realiti politik orang Melayu Pulau Pinang pada pilihan raya umum depan adalah untuk tidak lagi duduk sebagai majoriti pembangkang, tetapi menambah wakil rakyat Melayu dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri. Sudah tiba masanya sokongan orang Melayu dialihkan kepada Keadilan dan PAS. Orang Melayu harus berani keluar dari dogma bahawa Umno saja mewakili orang Melayu.  

Orang Melayu harus sedar bahawa parti politik untuk masa depan adalah parti politik yang mampu mendapat sokongan semua rakyat Malaysia tanpa kira ras dan agama. Tiada guna lagi mengangkat pemimpin Melayu yang hebat melaungkan ketuanan tetapi sebenarnya korup dan pura – pura. Pemimpin Melayu yang progresif, berjiwa rakyat dan adil kepada semua adalah sosok pemimpin yang kita perlukan di saat ini. Moga sosok pemimpin ini mampu membawa pencerahan kepada segenap bangsa di negeri ini untuk kita bina Pulau Pinang yang lebih gemilang untuk diwariskan pada anak – anak negeri ini.

Advertisement
Categories: Uncategorized

Parti Mana Lagi Ramai Melayu?

January 25, 2012 Leave a comment

image

Perkembangan terbaru menyaksikan ramai individu – individu Melayu, sehinggakan mereka yang sebelum ini individu berkepentingan di dalam Umno, menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP), pada pandangan saya adalah satu perkembangan sihat. Apatah lagi apabila, Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin, mencabar DAP untuk kemukakan lagi lebih ramai pemimpin Melayu di dalam DAP. Dalam erti kata lain, buktikan bahawa DAP adalah benar – benar parti berbilang kaum.

Asas cabaran YB Khairy ini tidak lebih dari sekadar gimik politik beliau, apa matlamat akhirnya, hanya Allah yang tahu. Namun suka untuk saya mengimbas kembali akan pengisytiharan penting ini, PENGISYTIHARAN SETAPAK, dibuat pada Kongres Kebangsaan DAP pertama di Setapak, Kuala Lumpur pada 29 Julai 1967;

“berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen.”

Dari awal DAP telah berjuang untuk keadilan kaum dan kesaksamaan sosial, namun akibat propaganda perkauman sempit yang dicanangkan oleh pemerintah, akhirnya DAP dilabel sebagai parti perkauman atau lebih tepat cauvinis Cina. Lebih 45 tahun DAP disalah erti, pasca 2008, ada usaha yang sungguh – sungguh untuk DAP keluar dari stigma ini. Bukan hanya lebih ramai pemimpin berbangsa Melayu yang diketengahkan oleh DAP, tetapi penubuhan cawangan DAP di beberapa kampung Melayu dan juga terhasilnya portal rasmi berbahasa Melayu, Roketkini, membuktikan DAP tidak lagi mahu mengambil sikap defensif, tetapi lebih proaktif dalam melawan stigma yang ditempelkan pemerintah kepada perjuangan mereka. Kerajaan negeri Pulau Pinang, yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng, juga telah membuktikan DAP bersama Pakatan Rakyat berjaya untuk melaksanakan pentadbiran yang telus dan cekap serta mampu memberi khidmat kepada semua rakyat tanpa mengira ras dan agama.

Jika kita imbas tempoh sebelum Merdeka 1957, cadangan untuk membentuk badan politik yang berbilang kaum itu sememangnya sudah ada. Bermula dengan gabungan Putera – AMCJA yang tampil dengan Perlembagaan Rakyat; dalam langkah menuju Merdeka pula, Dato Onn `berputus arang` dengan Umno apabila cadangan membuka keahlian Umno pada bukan Melayu ditentang. Umno – MCA – MIC pula terpaksa mewujudkan Perikatan, mengangkat platform politik pelbagai kaum sebagai model membentuk kerajaan untuk Merdeka. Pasca Merdeka, tertubuh Fron Sosialis, tidak lama kemudian Parti Gerakan yang terdiri daripada pelbagai kaum, berkempen atas dasar keadilan sosial dan kesaksamaan semua kaum. Selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, dalam usaha Tun Razak mengembalikan kekuatan kepada parti Perikatan, penubuhan Barisan Nasional dilihat sebagai langkah terbaik dengan model politik pelbagai kaum seperti yang diwarwakan. Tengku Razeleigh juga pernah cuba untuk membentuk satu kesepakatan politik pelbagai kaum di antara PAS dan DAP ketika beliau menerajui Semangat 46, tetapi usaha beliau tidak kuat `stamina`nya. Kemudian lanjutan peristiwa Reformasi 1998, Barisan Alternatif terbentuk tetapi pada ketika itu, istilah politik pelbagai kaum ini kelihatan terlampau asing di kalangan pengundi. Imaginasi rakyat terhadap politik pelbagai kaum in masih jauh jangkaunnya. Namun pasca 2008, senario ini berubah. Paling banyak mencatat peningkatan dalam jumlah undi dan kerusi, Parti Keadilan Rakyat, memberikan gambaran halatuju politik negara menuju ke arah satu model politik yang baru. Slogan seperti “Anak Melayu, anak saya! Anak Cina, anak saya! Anak India, anak saya! Anak Iban, anak saya! Anak Ulu, anak saya! Anak Dusun, anak saya! Semua anak saya!” menjadi laungan yang cukup popular. Tidak kurang juga dengan slogan 1Malaysia yang menjadi `zikir` para pimpinan BN baik di media utama mahupun media sosial.

Melihat kepada perkembangan ini, apa sebenarnya yang dapat kita taakulkan adalah model politik untuk masa depan Malaysia adalah politik pelbagai kaum (multiracial). Parti politik perlu berani keluar daripada kepompong politik sempit yang telah menghantui pemikiran politik Malaysia lebih daripada 60 tahun. Hakikatnya usaha ini bukanlah usaha yang baru. Ianya sudah lama ada di dalam fikiran politik rakyat Malaysia. Inilah dia masa depan Malaysia.

Mungkin yang sewajarnya YB Khairy lakukan adalah mengulang cabaran Dato Onn untuk membuka keahlian Umno kepada bukan Melayu mahupun bukan bumiputera. Mungkin tiba masanya parti komponen di dalam Barisan Nasional untuk membubarkan parti masing – masing membentuk sebuah lagi parti baru yang lebih majmuk. Tidak mustahil ‘penyatuan’ Barisan Nasional ini akan berlaku apabila mereka tewas dalam pilihanraya depan demi survival mereka sebagai parti politik (baca : pembangkang yang kuat).

Categories: Uncategorized Tags:

UiTM – Mengapa harus takut?

December 10, 2011 1 comment

image

Aku mulakan catatan kali ini dengan ungkapan bahawa kalau nak dinilai siapa yang benar – benar punya Universiti Teknologi Mara (UiTM) di hatinya adalah – aku. Apa tidaknya, kedua ibu bapaku adalah pensyarah di UiTM, maka lahir – lahir saja, bil hospital aku telah ditanggung UiTM; susu, lampin, yuran sekolah, duit buku, duit belanja sekolah dan macam – macam lagi semua dananya hasil titik peluh kedua ibu bapaku berkhidmat di UiTM. Sehingga tahun 2004, aku diterima masuk ke UiTM sebagai siswa Perubatan (dengan hanya menggunakan keputusan matrikulasi – bukan ‘cable’). Lima tahun mengabdi diri sebagai siswa UiTM, aku tamat pengajian dan dianugerahkan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari UiTM. Maka, kalau ‘orang Umno’ kata kalau ditoreh lengannya keluar darah Umno, aku ini bolehlah juga dikatakan kalau ditoreh lengan,maka keluarlah ‘darah ungu’ UiTM. Begitulah sebatinya jiwa aku dengan UiTM.

UiTM bermula daripada Dewan Latihan RIDA adalah hasil buah fikiran Dato’ Onn Jaafar selepas lawatan beliau ke Ceylon pada 1951. Kini sudah lebih 60 tahun, dewan latihan telah dinaik taraf sehingga kepada Universiti. Perkara utama yang membedakan UiTM dan universiti – universiti awam lain di Malaysia adalah; akta yang digunapakai – Akta Universiti Teknologi Mara 1976.  Akta UiTM 1976 adalah akta yang membolehkan universiti ini beroperasi hari ke sehari. Menurut akta ini, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 tidak boleh digunapakai ke atas universiti ini seperti yang termaktub pada perenggan 3A dalam Bahagian II : Penubuhan Universiti. Di saat isu autonomi universiti, kebebasan akademik dan kebebasan bersuara menjadi isu perbincangan hangat, nyata pendukung – pendukung Akta UiTM melihat keadaan ini dengan keresahan.

Semalam, 8 Disember, Speaker’s Corner Dataran Cendekia di UiTM Shah Alam menyaksikan satu kebangkitan baru di kalangan mahasiswa apabila sekumpulan aktivis siswa berpidato dengan menyatakan sokongan terhadap cadangan pindaan AUKU oleh YAB Perdana Menteri, malangnya pidato yang sepatutnya menjadi sesi penerangan siswa, terhalang kerana provokasi dua tiga juak – juak pentadbiran universiti dan juga pengawal keselamatan bertaraf polis bantuan. Suasana menjadi tegang, apabila juak – juak ini, dengan kemeja – T Majlis Perwakilan Pelajar, dengan biadap dan penuh intimidasi menganggu perjalanan pidato. Akhirnya pidato dihentikan oleh polis bantuan dan aktivis siswa yang menyatakan sokongan pada pindaan AUKU ‘ditahan’. Seperti kebiasaan, juak provokator dibiar bebas. Semalam saja, jalan – jalan menuju medan pidato dipenuhi dengan sekatan jalan oleh polis bantuan. ‘Special Branch’ siap dengan kamera mereka sibuk merakam satu demi satu muka siswa yang hadir. Pendek kata, UiTM berada dalam keadaan ‘police state’.

Situasi semalam itu amat memalukan. Sebagai sebuah Univerisiti, yang mana telah diiktiraf wujudnya satu Sudut Pidato atau dikenali sebagai Speaker’s Corner, menghalang siswanya dari berbicara dan berpidato adalah satu contoh bentuk sekatan ke atas, bukan hanya kebebasan bersuara, tetapi juga kebebasan akademik. Adakah ini imej Universiti yang menggelar diri mereka sebagai Universiti bertaraf dunia, atau lebih popular ‘Benteng Terakhir Umat Melayu’? Universiti yang mendakwa melahirkan profesional dalam pelbagai bidang, tetapi pentadbiran ala gestapo atau komunis China! Apakah kesalahan mereka ini berbicara? Apa sangat yang ditakutkan oleh pentadbiran universiti?

Semalam juga menyaksikan ‘ketakutan’ pentadbiran Universiti terhadap keberanian siswa – siswa universiti ini mencabar ‘status quo’. Mengapa takut?  Takut kerana mereka ini sebenarnya sudah hilang autonomi bukan hanya terhadap universiti, tetapi juga terhadap diri mereka sendiri. Jika diamati betul – betul, atas arahan siapa mereka bertindak? Untuk apa mereka laksanakan arahan itu? Apakah mereka faham dengan apa yang mereka lakukan? Bukan dengan tujuan untuk merendahkan sesiapa, tetapi apakah yang polis – polis bantuan (majoritinya tidak masuk universiti pun) pada malam itu faham akan tindakan mereka? Atau adakah mereka hanya bertindak mengikut arahan? Dan untuk apa? Apakah siswa – siswa semalam bersalah hanya kerana menerangkan satu isu yang cukup dekat dengan kehidupan mereka sebagai siswa?

Mahasiswa takut pada Dosen,
Dosen takut pada Rektor,
Rektor takut pada Menteri
Menteri takut pada Presiden,
Presiden takut pada Mahasiswa.

Seharusnya keberanian dan kesungguhan siswa ini mendepani isu – isu akademia, universiti dan siswa – diraikan. Keberanian mereka ini untuk menyedarkan komuniti di sekeliling mereka agar lebih peka dan responsif akan apa yang terjadi di sekeliling mereka. Tindakan yang semacam semalam itu sangat memalukan. Kebebasan bersuara, kebebasan akademik itu harus berjalan sejajar. Tidak ada yang harus membataskan ruang diskusi dan perdebatan di universiti. Warga akademik harus sedar, yang hanya membataskan kebebasan akademik, kebebasan bersuara itu hanyalah kebodohan dan kedangkalan hujah mereka sendiri.

Categories: Uncategorized

Dimanakah Angkatan Muda KEADILAN?

December 2, 2011 Leave a comment

image

Teman – teman perwakilan sekalian,

Menyoroti kembali sejarah Reformasi tahun 1998 – tidak dapat tidak, api kebangkitan rakyat bermula pada sela masa yang penting ini. Reformasi pertama kali dilaungkan oleh Anwar Ibrahim di hadapan puluhan ribu rakyat yang berhimpun di  Rumah Anwar di No 8 Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara. Mulanya rakyat tidak faham, ramai tertanya – tanya; apakah itu Reformasi?  

Reformasi 1998 adalah satu terjemahan kepada runtunan jiwa rakyat Malaysia, yang pastinya bukan terbit spontan, tetapi telah berakar di dalam sanubari kita semua – rakyat yang jelek dengan segala bentuk rasuah, kronisme, nepotisme dan keruntuhan insititusi penting negara seperti kehakiman, polis dan pilihanraya di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional.  

Namun apakah rangkuman yang paling penting dapat kita berikan pada anak – anak muda hari ini apabila kita bicara soal Reformasi? tesis penting yang lahir dari Reformasi adalah Deklarasi Permatang Pauh yang telah dilafazkan saudara Anwar Ibrahim pada 12 September 1998, seminggu selepas disingkir dari kerajaan. Ada tiga tesis besar dalam deklarasi ini; hak asasi manusia, demokrasi dan kebejatan pemerintahan dalam bentuk amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan nepotisme. Ini merupakan tema kekal Reformasi sehingga kini.

Namun yang relevan untuk kita persoalkan pada hari ini adalah, Dimanakah Angkatan Muda KEADILAN hari ini? Apakah kita mampu untuk menyatakan bahawa angkatan kita, terutama dari segi organisasinya dan mobilisasi setanding dengan parti – parti sahabat mahupun parti lawan?

Keris sempena Ganja Iras,
   Bisanya empat puluh hari,
Ke mana panglima muda berhias,
   Menegak adil membela diri,  

Sudah tiba masanya kita meninggalkan amalan -amalan politik adu domba, politik caci maki dan tak beradab, yang mana adalah ciri – ciri politik gelap dan politik lama. Sejarah pergerakan kita ini telah menunjukkan, hulubalang -hulubalang awal kita terdahulu, tersungkur dan akhirnya kembali ke lubuk asalnya. Kini menjadi petualang bangsa! kerana pada mereka politik itu kotor dan jijik! Politik itu untuk memuas nafsu serakah. Mereka yang seperti ini hendaklah kita buang jauh – jauh dari Angkatan Muda Keadilan.              

Yang bermulut tentu berbunyi
  Yang bermata tentu memandang
Orang pencarut perlu dijauhi
  Orang pendusta perlu dibuang  

Kongres kali ini adalah titik tolak yang memberi nafas dan semangat baru kepada Angkatan Muda Keadilan yang dilihat layu sekian lama. Pimpinan wajib melihat ke bawah, struktur organisasi di negeri – negeri. Akui kelemahan kita, dan kita wajib berubah. – itu yang penting.  

Kita, anggota Angkatan Muda KEADILAN, perlu sedar, bahawa Pakatan Rakyat kini di ambang kuasa. Mac 2008 telah membuka mata rakyat bahawa Barisan Nasional tidak kebal. Mereka bisa ditewaskan. Jika rakyat mahu, ianya pasti berlaku. Maka kita semua perlukan gagasan baru sebagai satu gerakan anak muda, sebagai lanjutan kepada kesediaan Parti KEADILAN Rakyat dan Pakatan Rakyat – membentuk kerajaan Pusat pada pilihan raya umum yang akan datang. Kita tidak harus dilihat sebagai satu perkumpulan anak muda yang lemah akalnya. Janganlah kita dilihat sebagai anak muda yang tidak tahu adab bicara orang Timur. Laras bahasa kita jangalah dipenuhi dengan cerca keras, lucah dan dangkal. Biarlah permasalahan rakyat menjadi tumpuan perbincangan kita. Biarlah nilai dan tema – tema pemikiran politik, falsafah, agama dan nasihat – nasihat manusia yang terdahulu menjadi topik perbualan dan perdebatan sesama kita      

Pemikiran adalah kekuatan – bahkan gagasan inilah yang akan merubah seluruhnya tamadun kita (tamadun Malaysia) untuk hari muka – inilah beza politik anak muda dengan politik lapuk yang cuma enak di dengar dengan retorik pembelaan tapi akhirnya ibarat pak pandir dan tikus membaiki labu semata – mata.            

Kalau niat berkain pelekat,
  Eloklah pula memakai capal,
Kalau niat memimpin rakyat,
  Duduk bicara memakai akal.

Isu Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI adalah sebahagian dari konflik sosial. PPSMI yang dilaksana dengan tergesa – gesa, tanpa kajian, tanpa percubaan dan melibatkan jumlah yang bukan main – main, ura – ura lebih RM12billion. Berlaku perdebatan hangat di kalangan intelektual, ahli pendidikan, ahli linguistik dan ahli sains. Namun di kalangan pendukung PPSMi, intelektual paling kental tidak lain adalah Mahathir Mohamad. Mahathirisme menjadi sumber pemikiran PPSMI. Proses pelaksanaan PPSMI yang secara ‘bulldoze’ ini, menjadi ‘trademark’ pentadbiran Mahathir, menjadikan PPSMi itu tiada legitimasi. Seharusnya, biarlah rakyat yang menentukan.  

Setuju atau tidak, persoalan PPSMI ini bermula dari kehendak seorang individu, yang akhirnya memenatkan seluruh rakyat negara ini. Yang sepatutnya kita tuntut adalah bukan Bahasa Inggeris sebagai opsyen, tetapi yang lebih kritikal dari itu, adalah kualiti pendidikan anak – anak kita yang perlu perjuangkan. Kualiti yang dapat meningkatkan kemampuan anak – anak kita untuk menjadi manusia yang hebat, menjadi autoriti di dalam cabang – cabang ilmu yang mereka ceburi dan akhirnya mampu berdaya saing dengan masyarakat global. Bahasa itu hanya satu alat atau medium. Sikap dan keberanian kita menggunakan akal, untuk keluar dari apa yang disebut Immanuel Kant sebagai self-imposed immaturity atau ketidakmatangan yang ditempa itu lebih penting dan mengesankan.

Bila bicara soal akademik anak – anak kita, Saudara Shamsul Iskandar menyentuh mengenai isu Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974. Sekali lagi jembalang yang menjadi punca pada semua permasalahan ini adalah Mahathir Mohamad. AUKU ini, melawannya tidak mudah, kerana ini mencabar status quo terutama pemerintah dan autoriti universiti – universiti. Lebih 30 tahun, AUKU dilaksana, adakah dunia akademia kita menjadi lebih baik? Apakah ada karya – karya besar mahupun teori – teori baru yang hebat terhasil?  Apakah mahasiswa kita hari ini lebih cerdas dan mampu berdaya saing? Tidakkah Majlis Professor Negara hari ini hanya menjadi bahan lawak dan ejekan di kalangan masyarakat? Pensyarah – pensyarah kita hari hanya sibuk berebut untuk memegang jawatan Naib Canselor, Timbalan itu dan ini, Dekan itu dan ini, tetapi bila ditanya berapa jurnal atau tesis yang dikeluarkan? Gagal! Langsung tiada usaha sungguh – sungguh mereka ini untuk menganjak ketamadunan rakyat Malaysia. Maka AUKU ini wajib dihapuskan sahaja.  

Sejarah negara bangsa ini telah menunjukkan bahawa sedari awal kurun ke 20 hingga 1970-an, negara telah menyaksikan sumbangan segar orang muda dalam menuntut kemerdekaan dan mengisinya. Bermula dari gerakan Islah, pertembungan Kaum Tua – Kaum Muda, gerakan Asas 50 dikalangan sasterawan dan wartawan muda, gerakan politik penentangan penjajahan (baik nasionalis mahupun aliran kiri) dan gerakan kaum guru yang berpusat di Maktab Perguruan Sultan Idris, sehingga lahirnya gerakan siswa 1974 di Universiti Malaya dan 1975 di Institut Teknologi Mara. Gerakan anak muda adalah satu gerakan yang mandiri (independan), bukan tukang angguk membuta – tuli. Tercetus Demonstrasi Baling adalah kerna keprihatinan golongan siswa dan anak muda terhadap kesengsaraan yang dihadapi golongan petani di utara tanah air. Malangnya, sejak lebih 30 tahun lepas, nyalaan semangat gerakan anak muda ini seolah – olah malap. Di manakah anak muda hari ini?  

Fathi Aris Omar, di dalam buku beliau ; “Patah Balek : Catatan Terpenting Reformasi” menyenaraikan lima sebab utama generasi anak muda di Malaysia ‘mati’. Pertamanya, tiada pemikiran mendalam hasil pembacaan, kajian, interaksi dan renungan. Kedua, hilang keberanian untuk mempertikai apa yang terjadi di sekeliling. Ketiga, hilang sense of originality. Keempat, cepat hilang stamina dalam harungi kepayahan hidup, khususnya kerja sukarela. Kelima, tidak setia kepada generasi muda tetapi suka bergantung pada generasi tua yang akhirnya menjadikan mereka suka bergantung dan dipandu arah.  

Maka dalam kita melawan AUKU, pertama – tama, warga universiti, siswa, pensyarah, alumni, perlu ke depan dan menyatakan keengganan mereka untuk patuh pada AUKU. Warga universiti harus berani melawan akta ini. Rakyat perlu tahu bahawa AUKU ini merosakkan masa depan negara kita. Rakyat harus ingat, di bawah Umno dan Barisan Nasional, akta ini akan terus kekal! Dengan Umno tiada lagi harapan untuk kita. Solusinya hanya satu, saya seru seluruh warga universiti, bersama – sama dengan rakyat Malaysia, wajib menolak Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum yang akan datang. Malaysia tanpa UMNO, adalah Malaysia tanpa AUKU.  

Sejarah dunia membuktikan bahawa kesedaran atau pencerahan adalah tiang seri kepada reformasi atau perubahan. Tanpa kesedaran dan pencerahan; takkan berlaku perubahan dan kalau pun berlaku, ia adalah perubahan yang cacat yang berkesudahan dengan malapetaka baru. Perubahan moden bukan lagi “revolusi di atas kelaparan rakyat” tetapi “perubahan atas kesedaran rakyat” – – dan atas sebab itu anak muda khususnya AMK perlu gerakkan perubahan dengan kesedaran.  

Kita mesti dilihat sebagai satu gerakan yang berhemah baik dari politiknya hinggalah kepada mesej yang kita bawa. Biar rakyat kenal bahawa di hati setiap anggota Angkatan Muda KEADILAN, rakyat adalah yang nombor satu. Demi rakyat Angkatan Muda KEADILAN akan meneruskan agenda Reformasi, sehingga satu negara Malaysia yang lebih baik tercipta.  

Kita semua, wajib untuk punya keyakinan bagi melihat satu negara Malaysia yang lebih baik. Keyakinan bahawa negara yang akan kita warisi dan wariskan ini, adalah bumi bertuah yang mampu membekalkan kehidupan yang lebih baik untuk generasi kita dan generasi akan datang. Ayuh, kawan – kawan semua, masa semakin suntuk untuk kita, patahkan duri – duri tajam antara kita, benamkan sengketa di antara kita, runtuhkan tembok – tembok tinggi yang menghalang perspektif kita, bersatulah kawan – kawan, sebagai satu persaudaraan yang kukuh,  

Memetik kata – kata akhir di dalam Deklarasi Permatang Pauh,  

Masanya telah tiba, Bersatulah untuk Reformasi, Demi Rakyat.  

Reformasi, Reformasi, Reformasi

Teks ini telah disediakan sebagai sebahagian dari teks perbahasan saya dalam membahaskan Ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda KEADILAN, ‘Dibawah Riayah Keadilan’ pada Kongres Nasional Angkatan Muda KEADILAN 2011 kali ke 8, pada 25 November di Pulai Spring Resort, Johor

Categories: Uncategorized

Petang Jumaat Yang Bukan Biasa – Biasa

Hati berdegup kencang,
Pantas masa menganjak saat,
Dahi dikerut,mata mengecil,
Ligat fikiranku mencongak itu ini,

Aku duduk,
Aku bangun,
Aku jalan, Mundar – mandir,
Tiada hilang resah,

Keringat jantan mengalir,
Aku gelisah,
Mencongak apa yang perlu,
Mengeluh kesah,
Yang kuning – kuningan aku tinggalkan,
Yang merah di bibir aku rindukan,
Penting padaku destinasi itu,

Kuala Lumpur,
Tandanya aku sebagai anak bangsa,
Istimewanya banyak,
Ruh dimana segalanya bermula,
Nama dan jiwa aku ada di situ,
Lambang aku anak bumi bertuah,

Hari ini bukan Jumaat yang biasa-biasa,
Bukanlah kerana dunia kiamat,
Bukan juga kerana Al Masih bangkit,
Terbit mentarinya juga masih Timur,
Cuma Jumaat ini lain dari yang biasa – biasa,

Selepas Jumaat ini hadir Sabtu,
Sabtu yang menjanjikan bukan biasa -biasa,
Sabtu yang membedakan kita,
Buta dan celik,
Cerah dan malap,
Bersih dan kotor,
Sabtu yang mana nazak mencungap,
Menggelepar di hujung nyawa,
Memberi nyawa pada satu pengharapan baru,

Sabtu ini takkan pernah hadir dulu,
Lebih dulu dari petang Jumaat,
Petang yang bukan biasa – biasa,
Yang di hujung hari, malam perlahan menyapa,
Agar Sabtu yang bukan biasa – biasa hadir,
Untuk kita melihat sinar Mentari yang baru……

4 pagi tanggal 9 Julai 2011,
Gombak Setia.

Categories: Uncategorized

TIPS ‘SURVIVAL’ BERSIH 2.0

June 16, 2011 2 comments

Oleh Dr. A. Bahardin

Pada jam 2 petang, Sabtu, 9 Julai 2011, ibu negara, Kuala Lumpur, akan dibanjiri ribuan rakyat yang bakal berhimpun untuk PERHIMPUNAN BERSIH 2.0. Seperti di dalam perhimpunan Bersih 1.0 pada 10 November 2007, lebih daripada 100 ribu rakyat telah berhimpun di ibu negara bagi menyerahkan Memorandum BERSIH kepada Yang Di-Pertuan Agong. Seperti kebiasaan juga perhimpunan itu telah diisytiharkan perhimpunan haram oleh pihak Polis Di Raja Malaysia dan agen – agen anti rusuhan (gas pemedih mata, meriam air) telah digunakan untuk menghalang demosntran daripada meneruskan perhimpunan itu.

Respon pihak polis dan juga beberapa pertubuhan ekstremis dan kenyataan seorang pimpinan UMNO juga telah membayangkan bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 ini; yang sepatutnya berjalan dengan aman; sebagai hak asasi rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan, bakal menghadapi intimidasi dan provokasi melampau daripada pertubuhan ekstremis yang menjadi tunggangan parti pemeritah. Sikap polis; seperti yang semua sedia maklum menjadi aparatus kepada parti pemerintah, hampir pasti bakal menggunakan seluruh bentuk provokasi dan kekerasan untuk menjustifikasi usaha mereka menghalang perhimpunan rakyat yang aman.

Atas kesedaran ini, saya terpanggil untuk sama – sama berkongsi dengan seluruh rakyat yang bakal menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 akan tips – tips ‘survival’, dengan fokus kepada ‘survival’ sebagai individu (baca : demostran) pada hari tersebut.

Agen anti-rusuhan (AAR) merujuk kepada penggunaan beberapa jenis gas, seperti chloroacetophenone (CN) dan chlorobenzylidenemalononitrile (CS), atau lebih dikenali sebagai gas pemedih mata. Jika individu terdedah kepada gas – gas ini, ianya akan menyebabkan kegatalan pada mata, kulit dan hidung, loya dan juga kesukaran bernafas dalam masa beberapa minit sahaja. Di dalam situasi yang jarang berlaku, AAR boleh menyebabkan komplikasi kronik seperti, kebutaan dan lebih dahsyat lagi maut.
Mengambil kira faktor ini, beberapa langkah perlu diambil bagi menghadapai situasi dimana Perhimpunan BERSIH 2.0 ini di’serang’ pihak Unit Simpanan Persekutuan (baca: FRU) dengan AAR dan juga meriam air;

Elak daripada terdedah. AAR adalah agen yang amat memedihkan dan bisa membawa maut. Tanda awal bahawa AAR akan digunakan adalah apabila FRU mula mengenakan topeng gas dan mengeluarkan senjata pelancar AAR. Elak keadaan ini. Lari dari berada di kawasan jarak tembakan.

Bersiap sedia. Pakai pakaian yang meliputi seluruh tubuh badan dan jika boleh hingga ke paras pergelangan tangan. Jika anda memiliki topeng gas, tidak salah untuk membawanya bersama. Selain itu topeng respirator lain boleh turut digunakan terutama yang digunakan untuk menapis bauan cat dan ‘thinner’. Alternatif lain, rendamkan ‘bandanna’ atau kain ke dalam cuka atau jus lemon, dan tutup mulut dan hidung dengan kedap. Selain itu, demonstran dinasihatkan juga untuk membawa ‘goggle’ renang bagi melindungi mata di saat gas AAR memenuhi ruang perhimpunan. Bagi mereka yang memakai kanta sentuh, anda dinasihatkan untuk tidak memakainya pada hari perhimpunan. Bekalkan diri anda juga dengan air (dibawa dalam botol) dan tepung penaik, ini bagi digunakan untuk meneutralkan bahan kimia yang telah terkena pada kulit. Elakkan memakai krim berasaskan minyak ataupun ‘sun-block’ kerana bahan – bahan ini bakal menyebabkan resapan kimia dari AAR meningkat.

Jauhi kawasan gas. Kaedah terbaik adalah untuk mengelak dari tempat yang telah diliputi gas AAR. Pergi ke tempat tinggi kerana gas AAR tumpat dan jarang naik ke udara. Jika anda berada di luar bangunan, masuk ke dalam bangunan terutama yang mana aliran udara luar tidak dapat masuk.

Basuh mata anda. Jika mata anda telah terdedah kepada gas AAR, jangan gosok mata anda. Jika anda memakai kanta sentuh, tanggalkan. Basuh dengan air selama 10 minit. Kanta sentuh yang telah terdedah jangan dipakai semula.

Mandi dengan air sejuk. Air panas akan menyebabkan liang roma kita terbuka dan memudahkan lagi bahan kimia AAR meresap ke dalam badan. Cuci badan sekurang – kurang 3 ke 5 minit. Jika demonstran mempunyai tepung penaik, campurkan dengan air dan sapukan pada seluruh badan terutama bahagian yang telah terdedah kepada AAR. Ini bagi meneutralkan kesan kimia AAR. Setelah yakin semua AAR dinyahkan dari badan, demonstran bolehlah mandi dan menggunakan sabun bagi membersihkan badan.

Jumpa dengan doktor. Jika didapati selepas melakukan semua perkara di atas, tetapi simptom iritasi dan kegatalan masih kekal, demonstran dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan kecemasan segera daripada hospital berdekatan.

Amaran buat para demonstran, jika AAR digunakan, kebanyakkan dari anda yang terdedah, akan menghadapi gangguan penglihatan kerana iritasi pada mata. Ini akan menganggu pergerakan anda dan kecenderungan untuk tersilap langkah dan lalu terjatuh. Situasi ini amat merbahaya kerana anda terdedah kepada risiko dipijak oleh demostran lain. Jika terperangkap dalam situasi seperti ini, jangan panik. Bersihkan mata anda dengan air yang banyak. Bilamana, anda terjatuh, tundukkan kepala, rapatkan lutut anda ke dada dan lengkungkan badan anda, ini mampu untuk mengurangkan ruang yang terdedah kepada risiko dipijak dan juga membantu melindungi organ – organ penting di dalam badan.

Semoga dengan tips – tips ini, para demonstran pada Perhimpunan BERSIH 2.0 bakal lebih bersedia untuk kemungkinan paling buruk. Saya mendoakan agar perhimpunan berjalan dengan aman tanpa provokasi apatah lagi tindak balas keras dari pihak berkuasa, saya juga mendoakan agar tuntutan BERSIH 2.0 bakal membawa reformasi sistem yang telah lama kita perjuangkan kerana saya percaya, akhirnya, kuasa rakyat jua yang akan mengatasi hegemoni pemerintah!

Hidup, hidup! Hidup RAKYAT!

Penulis merupakan seorang doktor. Idolanya Che Guevara seperti di dalam Motorcycle Diaries, tetapi tidak sekali akan mengangkat senjata. Sering bergelut di antara membaca dan komitmen kerja yang berat dan mengorbankan masa

Categories: Uncategorized

Rahim Tamby Chik Menteri Kabinet BARU

March 28, 2011 1 comment

PUTRAJAYA 27HB MAC 2011- Jabatan Perdana Menteri  hari ini telah mengeluarkan kenyataan hari ini
bahawa Dato’ Najib Altantuya akan merombak semula Kabinet Malaysia dengan mewujudkan sebuah
Kementerian baru yang di beri gelaran Kementerian Pembangunan Pornografi Malaysia yang akan di ketuai
oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Timbalan Menteri yang di namakan adalah Chua Soi Lek.

Saiful Bukhari telah di calonkan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Filem-filem Gay, manakala
Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim akan mengetuai Jabatan Pembangunan Filem-filem Asing ( Indonesia ).
Ummi Hafilda pula akan mengetuai Jabatan Pembangunan Pelacuran di bawah kementerian baru ini manakala
sebuah Rancangan baru akan di tubuhkan di bawah RTM iaitu RPM ( Rancangan Porno Malaysia ) di mana
Dato’ Eskay telah di namakan sebagai Ketua Pengarah dan Penerbit Eksekutif baru bagi rancangan TV ini
untuk seluruh rakyat Malaysia

Isa Samad telah di namakan sebagai Ketua Pembangunan Remaja mengandung manakala 
Bahagian Perfileman & Model dari Monggolia akan berada di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri.
Antara perkara yang akan di bawa ke Parlimen oleh Menteri dan Timbalan menteri baru ini adalah penggunaan
AP ( Approved Permit ) baru untuk ‘import’ di Malaysia yakni Approved Prostitutes dalam sidang Parlimen akan
datang. – BERNAMA

Categories: Uncategorized

Mubarak Undur, Mesir bergembira!

February 13, 2011 Leave a comment

11 Februari 2011 menyaksikan sekali lagi sejarah dicipta. Jika 30 tahun lepas, Revolusi Iran berlangsung sehingga menyingkirkan Shah Iran, dan pada tahun 1990 Nelson Mandela yang ditahan tanpa bicara puluhan tahun lamanya dibebaskan pada tarikh keramat ini, kini Mesir di dalam tahun 2011 pula mencipta sejarah apabila kuasa rakyat menumpaskan tirani Hosni Mubarak selepas lebih 18 hari rakyat melakukan unjuk rasa secara aman di seluruh Mesir.

Bermula sejak 25 Januari lepas, negara tempat bersemadinya Firaun ini menyaksikan kebangkitan kuasa rakyat. Regim Hosni Mubarak yang berkuasa selama lebih 29 tahun akhirnya tersungkur apabila rakyat bangkit menentang kezaliman dan salahguna kuasa.

Mesir sejak tiga dekad lalu menyaksikan demokrasi terpimpin yang diamalkan oleh Hosni Mubarak, bertanggungjawab untuk menyekat hak asasi warga yang merdeka. Seperti kebanyakkan negara pasca kolonisasi, kerajaan yang menggantikan penjajah menunjukkan kecenderungan untuk memberi tafsir tersendiri terhadap amalan demokrasi dan menjadi semacam budaya untuk menganggap semua yang dari Barat itu adalah buruk dan satu lagi agenda baru neo-imperialiasme. Atas retorik ini, banyak hak-hak asasi individu yang merdeka dinafikan.

Mesir dibawah Hosni Mubarak telah menyekat kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan kebebasan berpersatuan. Parti politik pembangkang ditekan, gerakan seperti Ikhwan Muslimin ditekan, ramai aktivis dan pemimpin yang tidak sehaluan dengan Hosni Mubarak akan ditahan tanpa bicara. Media dikawal dan aparatus kerajaan disalahguna untuk kepentingan regim. Penipuan pilihanraya melibatkan penyelewengan daftar pengundi, amalan politik wang yang berleluasa dan ugutan serta ancaman menjadi modal kempen ketika pilihanraya. Pembolotan harta negara oleh pemerintah dan keluarga juga berleluasa sehinggakan ada pendedahan bahawa Hosni Mubarak dan keluarga beliau memiliki aset lebih daripada $70 billion. Harus diingat bahawa saat revolusi rakyat ini berlangsung, keadaan ekonomi Mesir adalah cukup memberangsangkan tetapi rakyat tidak merasa manfaatnya dek kerana pengagihan aset negara yang tidak sampai kepada rakyat tetapi berpusat kepada elit pemerintah.

Atas semua kebejatan ini, rakyat Mesir memilih untuk bangun dan ‘melawan’ demi menyelamatkan negara mereka. Protes jalanan yang aman berlangsung lebih 18 hari sebelum Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman, mengumumkan perletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai Presiden dan meletakkan Mesir dibawah pemerintahan militari. Dataran Tahrir menjadi saksi sekali lagi kepada kebangkitan rakyat Mesir mempertahankan kemerdekaan mereka. Koptik, Muslim, muda dan tua, lelaki dan wanita bersama-sama dalam protes besar-besaran ini. Satu lagi bukti kekuatan Ketuanan Rakyat. Benar seperti firman Yang Esa, bahwa nasib sesuatu bangsa itu hanya dapat ditentukan oleh bangsa itu sendiri.

Saya mendoakan agar pihak militari tidak akan melengah-lengahkan waktu untuk memulangkan semula kuasa dan pilihan kepada proses demokrasi. Proses dimana Ketuanan Rakyat adalah asasnya. Moga rakyat Mesir akan dapat benar-benar kecapi Kebebasan yang telah mereka cari selama ini dan membina tamadun yang lebih gemilang satu masa nanti.

Categories: Uncategorized

Demo Air Selangor : Perjuangan Rakyat v. Monarki

December 6, 2010 Leave a comment

Semalam, 5 Disember, menyaksikan Kuala Lumpur dihiasi dengan pesta demokrasi atau gelar popularnya adalah demonstrasi. Tahniah, (saya enggan guna istilah – Syabas) kepada para demonstran yang telah berhimpun dan berekspresi dengan aman dan seperti kebiasaannya, Polis Di Raja Malaysia dengan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah menjadikan himpunan aman ini kucar-kacir dengan agresi dan provokasi melampau.

Disimbahi semburan air asid, dipukul, dikejar dan ditangkap adalah selalunya penghujung kepada ‘pesta’ ini. Tidak kurang yang ditahan dan ditangkap di beberapa tempat ketika di dalam perjalanan ke lokasi demonstrasi – hanya kerana berpakaian merah! Cukuplah situasi semalam untuk menunjukkan bahawa sememangnya hak asasi Rakyat di Malaysia dinafikan oleh sang pemerintah.

Namun disebalik situasi demonstrasi semalam, ada beberapa perkara yang menjadi keresahan saya – Wajarkah kita terus mengheret institusi feudal monarki negara dalam usaha kita menegakkan hak Rakyat yang tertindas? Wajarkah kita, buat masa ini masih lagi mahu bergantung harap pada mereka yang berada di tampuk monarki negara dan negeri? Wajarkah kita menyerahkan keyakinan kita kepada mereka di dalam monarki untuk mengangkat dan menjunjung nilai-nilai federalisma dan juga keluhuran perlembagaan negara?

Rakyat terpaksa mengharungi bermacam-macam halangan dan rintangan. Disembur, dipukul, ditangkap dan pelbagai lagi bentuk kezaliman yang Rakyat perlu lalui, tetapi pernahkah seseorang Sultan atau Raja ‘mencemar duli’ untuk bertemu Rakyat dan menyambut di pagar Istana? Mungkin di masa depan, sudah tiba masanya segala bentuk demonstrasi yang direncana tidak lagi mengharapkan pada institusi yang tidak ‘bertaring’ ini lagi.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Categories: Uncategorized

Selamat Tinggal Zaid Ibrahim

November 16, 2010 Leave a comment

Buat ke sekelian kali, seperti yang telah dijangka, Zaid Ibrahim sekali lagi keluar Parti – kali ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat.

Perasaan saya bercampur. Gembira kerana parasit yang ingin menumpang dalam PKR ini dengan sendiri menyingkirkan diri daripada Parti, tetapi gusar akan pandangan masyarakat teramai. Imej PKR teruk dimanipulasi dan media mengambil peluang ini untuk memburuk-burukkan PKR.

Memburukkan PKR satu perkara, tetapi yang lebih malang apabila ada serangan berterusan dan terancang untuk merendahkan dan mencemar amalan demokrasi terus – satu ahli satu undi – yang diperkenalkan PKR. Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha jahat untuk membodohkan rakyat dari mengenali satu sistem pengamalan demokrasi yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang.

Saya memandang ‘kebebasan’ yang diberikan sekarang ini masih gagal dikecapi nikmatnya yang sebenar oleh ahli PKR. Nikmat yang saya maksudkan adalah peluang untuk kita melibatkan diri dalam proses demokrasi dan mampu untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju Parti dengan tanggungjawab. Ini semua bergerak atas prinsip bahawa kebebasan itu batasnya adalah tanggungjawab dan etika. Dan tanggungjawab itu bermakna memilih untuk mengundi dengan akal dan bukan sentimen semata – mata. Berfikir dan menaakul sebelum mengundi.

Maka yang diperlukan oleh PKR sekarang ini adalah masa dan iltizam untuk benar – benar menjadi perintis (baca:reformis) kepada satu bentuk budaya politik baru untuk Malaysia. Adalah tidak mustahil, bahawa satu hari nanti, kita bakal menyaksikan pemilihan terus Perdana Menteri oleh rakyat teramai melalui satu proses pemilhan – satu rakyat satu undi – bukan lagi dipilih oleh sekadar perwakilan parti politik yang menerajui Kerajaan. Dan tidak juga mustahil andai rakyat juga bisa terlibat dalam menentukan segala bentuk polisi atau rang undang-undang yang dibahas di Parlimen. Semua ini batu loncatannya diharapkan adalah Pemilihan PKR 2010 ini.

Saya menyarankan agar setiap ahli PKR, terutamanya pimpinan, untuk sungguh – sungguh advokasi mengenai amalam demokrasi terus kerana hanya dengan cara ini, barulah usaha ke arah kebebasan, Reformasi dan jaminan keadilan dapat dikecapi. Usaha kita ini semua bukan setakat satu budaya baru, tetapi satu perjuangan panjang untuk memerdekakan rakyat dan menjadikan Pencerahan bangsa Malaysia itu sesuatu yang nyata.

Buat Zaid Ibrahim, Selamat Tinggal. Kepimpinan anda tidak kami perlukan kerana usaha ini hanya untuk mereka yang benar-benar jujur dan ikhlas.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Categories: Uncategorized